Menurut sumber, Abu Zarin, 33, dikejarkan ke Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Dia masih belum sedarkan diri dan masih dirawat di hospital. Sama-samalah kita berdoa semoga Abu Zarin selamat,” katanya di sini semalam.

Abu Zarin yang berasal dari Permatang Gading, Pasir Puteh di Kelantan terkenal dengan gelaran ‘Wira Penyelamat’ berikutan kecekapannya mengendalikan kes ular berbisa.

Beliau pernah mencuba nasib mempamerkan bakat bermain ular menerusi program pencarian bakat Asia’s Got Ta­lent di Johor Bahru, Johor pada tahun lalu, namun terkandas di suku akhir.

Difahamkan, Abu Zarin pernah dipatuk ular berbisa sebanyak 10 kali sebelum ini dan kejadian petang kelmarin merupakan kali kedua dia dilaporkan koma akibat bisa haiwan tersebut.

Kali pertama dia dilaporkan koma adalah ketika dipatuk ular sewaktu bertugas di Segamat, Johor tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.