Begitulah yang boleh diibaratkan kepada seorang bekas pelatih GIATMARA Gaya, Sabah, Willy Soo apabila bakatnya dalam bidang penggayaan rambut yang diminati sejak berusia belasan tahun kini menjadi sumber rezekinya.

Berasal dari Kampung Likas di Kota Kinabalu, Sabah, anak muda berusia 21 tahun ini yang sebelumnya hanya merupakan seorang tukang gunting rambut biasa sekarang mampu berbangga apabila diiktiraf sebagai penggaya rambut profesional.

Lebih menarik, anak bongsu daripada dua beradik ini enggan menoleh ke belakang lagi dan membuat keputusan membuka sebuah premis, HIT Barber dengan menawarkan perkhidmatan penggayaan dan menggunting rambut di Asia City di Kota Kinabalu.

Perniagaannya dijangka memulakan operasi pada awal September ini sebaik kerja-kerja pengubahsuaian premis itu selesai.

Membuka cerita, Willy yang merupakan lulusan Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (Hairdressing), Pusat Latihan GIATMARA Gaya di Kota Kinabalu memaklumkan, kejayaan dicapainya bukan mudah kerana keputusannya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi itu kira-kira tiga tahun lalu pernah diperlekeh saudara terdekat.

Jelasnya lagi, ketika itu ramai yang memandang rendah keputusannya memilih haluan tersebut kerana mereka memberitahu bidang penggayaan rambut tidak menjana pendapatan baik dan lebih buruk lagi tiada harapan untuk masa depan.

“Mereka memandang rendah terhadap bidang ini. Nasib baik ibu bapa saya, Kue Yang Peng dan Soo Ah Lek banyak memberi dorongan dan sokongan untuk terus bertahan dalam bidang pengajian dipilih ini.

“Bagaimanapun, saya tidak mudah mengalah dan menjadikan segala pandangan negatif terhadap bidang ini sebagai pembakar semangat untuk terus maju dan mencipta kejayaan,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Willy akhirnya membuktikan dia membuat keputusan tepat melanjutkan pelajaran ke GIATMARA apabila segelintir saudara terdekat yang pernah memandang rendah terhadap bidang pilihan itu akhirnya membuka mata dan mula memberi sokongan kepadanya sehingga kini.

Hal itu selepas dia mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa de-
­­­­­n­gan­ me­raih pelbagai kejayaan berkaitan bidangnya.

“Sejak menyertai pertandi­ngan Worldskill Malaysia Belia 2017 dengan menggondol pi­ngat emas dan kemudian meraih pingat gangsa selepas terpilih menyertai World Skill ASEAN 2018 di Bangkok, Thailand, saudara-mara mula nampak kejayaan saya dan terus memberi sokongan dalam bidang ini sampai sekarang,” katanya.

Willy yang turut memperoleh pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 (Barber) pada tahun 2018 berkata, dia mula mengikuti kursus dandanan rambut di GIATMARA Gaya pada tahun 2016 selama enam bulan sebelum mengikuti Program Hair In Trend (HIT) Barber setahun kemudian.

Mengulas lanjut, HIT Barber merupakan program pemba­ngunan usahawan ‘BARBER’ anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) khusus untuk melahirkan usahawan Bumiputera profesional dalam bidang penggayaan dan dandanan rambut.

Terangnya lagi, program pembangunan usahawan ini me­rangkumi aspek kemahiran, nilai keusahawanan, dan pe­ngurusan perniagaan dalam memastikan usahawan yang kompetitif dan mampu me­nembusi pasaran dengan ja­yanya.

Bagi mendalami kemahiran penggayaan dan dandanan rambut, ikon GIATMARA Sabah tahun 2018 ini pernah mendapatkan latihan dan be­kerja dengan syarikat Khal Hair Salon yang diterajui usahawan Bumiputera, Khaljaksa Khalil.

Willy yang menjadikan penggaya rambut ternama dari Rusia, Georgiy Kot sebagai antara rujukannya turut menarik perhatian apabila kerjayanya ini banyak mendekatkan dirinya kepada komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), program Bersamamu terbitan TV3 dan khidmat masyarakat.

“Banyak pengalaman yang saya dapat menerusi pengli­batan CSR. Antaranya menerusi Mentor Milenia 2017 dan Malaysia Hari Ini di TV3, Dewi Remaja 2018/2019, Karnival Usahawan Desa di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Drama Festival Kuala Lumpur serta HIT Barber Potong Rambut Putrajaya 2018.

“Antara pengalaman manis yang tidak akan dilupakan apabila saya diangkat sebagai ikon GIATMARA Sabah pada tahun lalu. Saya amat bangga dan gembira dengan pengiktirafan yang diberikan itu.

“Paling penting bagi saya apabila hasil kerja kita mendapat pujian daripada pelanggan,” ujarnya yang juga pernah mewakili negara dalam pertandingan berkaitan penggayaan rambut di Vietnam, Singapura dan Indonesia.

Willy menambah, untuk menjadi seorang penggaya rambut yang hebat dan dihormati, seseorang itu perlu menjaga penampilan diri, berdisiplin dan sentiasa mengetahui fesyen dan trend rambut terkini.

Bercerita tentang peranca­ngan dalam tempoh 10 tahun akan datang, Willy bercita-cita menjadi seorang penggaya rambut terkenal di peringkat global.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya ingin melihat diri sebagai seorang penggaya rambut yang terkenal di dunia.

“Saya juga ingin melihat perniagaan HIT Barber dapat dikembangkan lagi dan jika dianugerahkan rezeki yang lebih, saya ingin membuka akademi dandanan rambut sendiri,” katanya menutup bicara.