Ironi, bukan hanya individu dalam bidang seni suara, muzik, lakonan dan sahaja yang layak menyandang predikat artis tetapi penggunaan boleh menyeluruh mencakupi bidang kaligrafi, tarian, seni rupa dan tekstil dan banyak lagi.

Namun, artis yang dima­sukkan dalam kelompok selebriti dan terdedah dengan dunia hiburan biasanya akan mengungguli carta populariti jika dibandingkan dengan artis-artis kategori lain. Artis daripada kelompok selebriti juga selalu menjadi perhatian untuk segala perbuatan positif apatah lagi negatif mereka.

Seperti yang terjadi kepada Farid Kamil dan pelakon kelahiran Singapura Aliff Aziz ming­gu ini.

Farid menerima hukuman penjara sembilan bulan akibat penyalahgunaan dadah yang dilakukan pada tahun lalu. Aliff pula pasrah dengan permohonan cerai daripada isterinya, Bella Astillah yang sudah tidak tahan lagi dengan gaya hidup ‘nakal’ suaminya.

Biarpun kesalahan-kesalahan dan hukuman-hukuman yang diterima itu tidak pelik bahkan serupa seperti yang sering berlaku di mana-mana mahkamah, namun disebabkan mereka artis dan apa sahaja yang berlaku harus dibuka untuk tatapan umum, bahananya tiada privasi buat mereka.

Kisah dadah Farid dan drama perceraian pasangan artis se­perti Aliff dan Bella pernah terjadi kepada banyak artis terdahulu. Biarpun tidak serupa jalan cerita, namun asasnya masih sama.

Boleh dikatakan sebagai artis papan atas, Farid mungkin menjadi pelakon bergelar Datuk pertama yang meringkuk di penjara selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), Januari tahun lalu. Sebenarnya, jika Fa­rid tidak melakukan perbuatan ‘sasau’ mengamuk dan menampar polis di balai polis! mungkin sehingga ke hari ini, tiada sesiapa menyangka hero banyak filem Melayu termasuk Lagenda Budak Setan itu ada mengambil dadah.

Sebenarnya, mengikut data yang dipetik daripada laman web rasmi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tahun 2018, daripada 25,267 jumlah penagih yang dikesan, hanya 19 kes yang melibatkan individu daripada sektor hiburan.

Biarpun masih satu jumlah yang kecil, namun memikirkan impak besar, mahkamah enggan menerima permohonan pihak tertuduh agar Fa­rid tidak dipenjara.

Mahkamah berpendapat, tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan Farid tidak pernah membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang diterima.

Mahkamah juga mengambil kira faktor kepentingan awam selain kekerapan berlakunya kes sebegitu.

Lalu, apa istimewanya menjadi artis? Selain mudah menjadi popular dengan kontroversi, hidup dalam limpahan glamor dan mudah mendapat peluang melipatgandakan pendapatan dengan hamparan peluang depan mata, juallah apa sahaja di media sosial pasti ada peminat yang beli, artis juga manusia yang melakukan kesalahan dan menerima hukuman daripada setiap kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, biar seba­nyak mana pun keburukan atau dosa yang pernah dilakukan oleh seseorang artis, walaupun sekeji mana pun dicerca kerana berlaku curang terhadap isteri seperti perbuatan Aliff, namun sebaik hukumannya tamat atau yang keruh berganti jernih, saat seseorang artis menunjukkan perubahan dan iltizam terhadap karier serta hidupnya, masyarakat pasti akan kembali menerima mereka seadanya seperti yang berlaku kepada banyak artis terdahulu.

Jadi, kepada yang mencerca dan mengeji dua lelaki popular yang sudah pun terhukum oleh khilaf semalam, tidak mustahil akan memuji perubahan mereka sebagai rujukan sempadan, suatu hari nanti.

Menjadi artis bermakna mereka akan sentiasa mendapat peluang kedua, sama ada secara jujur atau sebaliknya kerana itulah seni kehidupan anak wayang.

Seperti kata Farid ketika disapa wartawan sewaktu mula-mula direman tahun lalu: “Semua ini memberikan lebih warna dalam hidup saya.”

Farid dan Aliff telah mendapat warna baharu dalam hidup mereka. Kita pula, te­ruslah berdoa agar Ramadan yang masih ada dan Syawal dinanti membawa cahaya untuk dirasai bersama.