Pelbagai kisah suka duka menyelubungi kalendar ta­nah air dan tidak terkecuali arena sukan negara.

Dua skrip berbeza menyelubungi watak pemain bola sepak dan pemain hoki negara pada bulan terakhir tahun ini.

Pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar ceria de­ngan tiga pengiktirafan yang diraih pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 menerusi Anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) pada Jumaat lalu.

Berbeza dengan nasib penjaga gol hoki kebangsaan, S. Kumar pada 18 Disember lalu yang dirundung malang apabila terpalit dengan kegagalan melepasi ujian doping ketika beraksi pada Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, pada Oktober lepas.

Pengiktirafan yang diterima oleh Baddrol itu boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan prestasi namun bagi Kumar, beliau perlu bersabar dengan ujian biarpun ia pahit untuk ditelan.

Arena sukan negara turut tidak terlepas dengan isu doping apabila penerjun, Wendy Ng Yan Yee disahkan positif dadah jenis sibutramine ketika menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu.

Namun di sebalik kontroversi itu, kontinjen negara di KL2017 membanggakan nama Malaysia apabila muncul juara setelah merangkul 145 pingat emas.

Paling menarik perhatian, pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dinobatkan sebagai pelari terpantas Asia Tenggara apabila mengungguli acara 100 meter (m) dengan catatan masa 10.38 saat.

Tahun ini merupakan musim malang buat skuad Harimau Malaya apabila berada di kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara setelah menghuni tangga ke-174 dunia.

Akibatnya, jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada terpaksa melepaskan jawatan selepas menjadi jurulatih untuk tempoh enam bulan kerana gagal mencatat sebarang kemenangan daripada tujuh perlawanan antarabangsa sejak Mei lalu.

Di sebalik kemalapan skuad bola sepak negara, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pasukan pa­ling berprestij di peringkat domestik apabila dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut selepas unggul pada musim 2016, 2015 dan 2014.

Skuad Harimau Selatan turut cemerlang apabila ‘mencuri’ Piala Malaysia daripada Kedah setelah menewaskan skuad Helang Merah di pentas akhir awal November lalu.

Namun prestasi Kedah tetap membanggakan apabila meraih Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Dalam pada itu, pelumba basikal, Azizulhasni Awang memecut laju di trek apabila dinobatkan sebagai juara keirin dunia di Hong Kong.

Atlet kolam renang juga tidak menghampakan apabila penerjun, Cheong Jun Hoong mengungguli acara 10m platform pada Kejohanan Terjun Dunia di Budapest, Hungary Julai lalu.

Skuad boling wanita turut memahat nama di pentas dunia apabila menjuarai Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sayonara 2017, kejayaan manis dijadikan pembakar semangat, kekalahan bukan pengakhiran sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bangkit.

Tahun 2018 akan menjadi gelanggang besar dan ujian sebenar buat para atlet negara yang bakal menggalas nama Malaysia pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada bulan Ogos.