Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Mohd Khairi S. Zainudin berkata, kedua-dua mereka iaitu seorang lelaki dan wanita, Dominick Tan Chang Xiang, 27, dan Lum Jie, 27, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.24 pagi.

Beliau berkata mereka ditemui kira-kira 50 kilometer dari lokasi terakhir dikesan membuat panggilan kecemasan 999, Isnin lepas.

"Mereka berjaya ditemui menerusi tinjauan udara menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi menerusi udara dimulakan pada 10 pagi tadi," katanya di sini hari ini.

Katanya tindakan kedua-dua mangsa yang turun ke dalam tasik empangan bagi menarik perhatian pasukan penyelamat telah membolehkan mereka ditemui.

Mohd Khairi berkata mereka kemudian diselamatkan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan dihantar ke Hospital Pontian untuk diberikan rawatan.

Kedua-dua mangsa yang merupakan rakan itu dilaporkan memasuki kawasan Gunung Pulai lebih kurang 12.15 tengah hari Isnin (5 Feb) sebelum pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira 5.55 petang hari yang sama.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan kali terakhir dapat dihubungi pada 10 malam Isnin. - Bernama