PEGAWAI penyiasat menjalankan siasatan di lokasi seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh van di Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, Iskandar Puteri semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, mangsa, Liaw Ziang E, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak di tengah jalan laluan terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Ge­lang Patah menuju ke Ulu Choh, manakala van jenis Toyota ­Hiace itu dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van warga tempatan telah membelok ke simpang kanan jalan menyebabkan ­ma­ngsa yang datang dari arah hadapan tidak sempat membrek sehingga merempuh ken­deraan terbabit.

“Akibat rempuhan itu, kepala mangsa terputus dan tercampak di atas jalan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dzulkhairi berkata, pemandu van bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat dan polis turut menahan pemandu van untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.