Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, van jenis Nissan Vanette dipandu mangsa, Mujahid Shah, 23, terbakar selepas dilanggar sebuah lori membawa muatan pasir jenis Hicom.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang dalam perjalanan dari arah Pasir Besar menuju Palong 4,5,6 ketika kejadian itu berlaku.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila van Nissan Vanette dari arah Pasir Besar hendak masuk ke simpang Palong 3 bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan iaitu arah Palong 4,5,6 menghala ke Pasir Besar.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut kedua-dua kenderaan itu terbakar. Pemandu van itu maut di tempat kejadian kerana terbakar seluruh tubuh badan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, siasatan awal mempercayai kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu van memasuki simpang secara melulu dan tidak berhati-hati.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jelas beliau, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE