Suspek berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya yang memeriksa rumah tersebut menemui beberapa keping kad disyaki dipalsukan.

"Antaranya adalah lima keping kad UNHCR atas pelbagai nama yang disyaki palsu, (empat) i-kad Jabatan Imigresen, (tiga) pasport Myanmar dan (lima) kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Suspek ditahan bersama kad-kad tersebut selain peralatan yang digunakan untuk mencetak kad itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kad-kad berkenaan dijual pada harga RM30 sekeping oleh suspek yang terlibat dalam kegiatan itu sejak kira-kira dua bulan lalu.

Nik Ros Azhan berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE