Beliau yang memiliki tiga cucu berkata, kursus anjuran Yayasan Terengganu dengan kerjasama Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA selama setahun lima bulan tersebut telah banyak memberi dimensi baru dalam pembacaan al-Quran dan ilmu tajwid kepadanya.

Hassan berkata, beliau hadir dalam kesemua enam sesi kursus tersebut yang berlangsung pada setiap hari Jumaat dan Sabtu minggu ketiga setiap bulan dari 11 November 2016.

"Walaupun saya peserta kursus yang paling tua, tiada apa yang perlu disegankan kerana bagi saya, ilmu itu perlu dicari sehingga ke akhir hayat.

"Pengajaran bacaan al-Quran dan ilmu tajwid banyak membantu saya memantapkan pengajaran sebagai guru tasmi' di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu dan guru mualim di beberapa masjid serta surau sekitar Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas menerima sijil pada majlis Graduasi Kursus Tahsin al-Quran dan Perguruan Guru-Guru Tasmi' Imtiaz Yayasan Terengganu di UniSZA, Gong Badak di sini hari ini.

Hassan merupakan salah seorang daripada 145 guru tasmi' dari lapan Sekolah Menengah Imtiaz seluruh Terengganu yang menerima sijil berkenaan daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad.

Beliau yang merupakan kelulusan syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir berkata, beliau berkhidmat sebagai guru tasmi' secara sambilan di SM Imtiaz Kuala Terengganu di sini sejak bersara wajib pada tahun 2014.

"Selagi terdaya, saya akan terus mencurahkan ilmu dan pengalaman terutama dalam bidang agama kepada anak bangsa," katanya. - K! ONLINE