Asrah Salleh, 85, yang menunggang motosikal bersendirian tersesat sejauh kira-kira lima kilometer sewaktu ingin menuju ke rumah anak bongsunya di Parit 1, Timur ketika ditemui orang ramai pukul 7.30 malam.

Difahamkan, mangsa bertolak dari rumahnya di Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar pukul 6.30 petang.

Menurut seorang penduduk, Adyzul Azree Mustafa, mangsa ditemui dalam keadaan terpinga-pinga di tepi jalan bersama motosikalnya.

"Beberapa penduduk kemudiannya memaklumkan kepada beberapa kenalan di kampung lain sebelum berjaya menghubungi warisnya.

"Salah seorang anak mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke Sungai Limau datang mengambil warga emas itu empat jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Sementara itu, anak mangsa, Zulkifli Asrah, 54, menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan bantuan orang ramai bagi memastikan keselamatan bapanya itu. 

Jelasnya, ini merupakan kali kedua kejadian serupa menimpa bapanya selepas empat bulan lalu. 

"Dalam insiden pertama itu, bapa tersesat sehingga pekan Sungai Besar sewaktu hendak menuju lokasi sama iaitu Parit 1, Timur," katanya. - K! ONLINE