Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa ditemukan dengan kesan kecedaraan pada bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek keras.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan pecah masuk pada tingkap bilik tidur utama rumah teres setingkat yang didiami mangsa.

"Kejadian berkenaan disedari oleh jiran yang ingin bertanya makanan untuk dibeli kepada mangsa pada pukul 8.30 pagi. Jiran tersebut ada memanggil tetapi tiada sahutan dari mangsa.

“Jiran yang mempunyai kunci pendua terus membuka pintu rumah dan menemukan mangsa yang tidak bernyawa dalam keadaan meniarap di bilik utama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Md. Noor Aehwan, selepas menemukan mangsa, jiran berkenaan terus menghubungi pihak polis dan juga cucu mangsa yang tinggal di Kajang, Selangor bagi memaklumkan kejadian itu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai disamun antara pukul 11.30 hingga 12.30 tengah malam tadi. Mangsa cedera pada bahagian muka selain lebam di beberapa anggota badan.

"Unit forensik masih menjalankan siasatan dan kita tunggu hasil bedah siasat esok. Setakat ini kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun," katanya. -K! ONLINE