Dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu, mangsa, Ooi Chin Lean,63, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.50 petang semalam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, mangsa keluar untuk berjoging di kawasan tersebut bersama anak lelakinya berusia 32 tahun di kawasan tersebut pada pukul 6 petang.

"Sewaktu sedang menuruni kawasan bukit, anaknya telah berlari mendahului mangsa sebelum menyedari lelaki itu sudah tiada di belakang 20 minit kemudian.

"Anak lelakinya telah berpatah balik dan melihat Chin Lean terbaring di laluan pejalan kaki sebelum cuba mengejutnya namun mangsa tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Razlam, anaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada ibunya dan menghubungi ambulans.

Ujarnya, pihak ambulans telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Chin Lean dihantar ke Hospital Taiping dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah dan disebabkan oleh serangan jantung," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - K! ONLINE