Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, P. Runkanaikey berusia 78 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, telinga kanan, tangan kiri dan lutut kiri.

Cucu mangsa, N. Silamparasan, 22, yang merupakan peniaga buah kelapa parah pula parah selepas ditetak di lengan tangan kiri, peha dan betis kiri serta tapak kaki kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, motif kejadian tersebut diketahui hasil siasatan lanjut terhadap empat orang suspek berusia 27 hingga 45 yang ditahan sebelum ini.

"Berdasarkan siasatan tersebut mendapati cucu mangsa berhutang sejumlah wang dengan salah seorang suspek dalam serangan itu.

"Hutang itu dipercayai berkaitan perniagaan kelapa diusahakan cucunya sebelum menjadi dendam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara lanjut jumlah dan sejak bila mangsa berhutang dengan suspek serangan itu.

Jelas Chee Khoon, dua daripada suspek  berusia 27 dan 36 tahun yang ditahan sebelum ini telah dituduh mengikut Seksyen 324 / 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini semalam.

"Mereka mengaku tidak bersalah dan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kes di mahkamah sama pada 26 September depan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya kini memburu tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Mereka adalah E. Venthaan, KN. Vikkines dan T. Devaraju yang masing-masing berusia 28 tahun dan beralamat di Kapar, Klang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Rodziah Ahmad Tajuddin di talian 03-32242222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. 

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut manakala cucu lelakinya parah selepas ditetak di seluruh badan oleh lima suspek bertopeng bersenjatakan parang di rumahnya di Tebuk Pulai di sini. - K! ONLINE