Adanya ramai warga tua yang bekerja merupakan tanda penuaan positif yang menunjukkan fizikal dan kesihatan minda mereka masih sihat walaupun populasi orang tua semakin bertambah berbanding jumlah penduduk negara berikutan penurunan kadar fertiliti dan peningkatan kadar jangka hayat.

"Inilah yang dikatakan penuaan positif iaitu mereka menunjukkan kemampuan bekerja dan masih aktif seperti melibatkan diri dengan NGO (badan bukan kerajaan), menjadi usahawan, terlibat bidang penerbitan dan lain-lain pekerjaan," kata Pengarah SWRC Prof Datuk Norma Mansor.

Menurut Jabatan Perangkaan, hampir 10 peratus populasi rakyat Malaysia hari ini berusia 60 tahun dan ke atas, dengan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 15 peratus menjelang 2030.

Kaji selidik dalam talian mengenai 'Memahami Penuaan' yang dijalankan oleh SWRC terhadap 518 orang dari Mei 2015 hingga Mei 2016 mendapati sebanyak 50 peratus daripada mereka berumur 60 tahun dan masih bekerja.

Kaji selidik SWRC mengenai 'Penilaian Kecukupan Simpanan: Kes Anggota Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) terhadap 2,635 orang pada Jun 2016 mendapati hampir separuh daripada responden itu berusia 60 tahun dan ke atas dan masih bekerja.

"Kami mendapati, walaupun mempunyai beberapa bentuk simpanan atau pelaburan, mereka memilih untuk terus bekerja," katanya kepada Bernama sambil memberitahu bahawa dapatan kaji selidik itu menunjukkan warga emas masih mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Jadi, kita perlu memikirkan bagaimana untuk melibatkan mereka supaya dapat menyumbang ke arah produktiviti ekonomi," katanya.

Sementara itu, Prof Robert L. Clark dari Jabatan Ekonomi, Pengurusan, Inovasi dan Keusahawanan North Carolina State University berpendapat trend lelaki dan wanita bekerja dengan lebih lama memberi kesan yang baik terhadap pekerja dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Kajian menunjukkan usia tua tidak mempengaruhi prestasi dan keupayaan kerja (seseorang pekerja). Perbezaan individu dalam prestasi mungkin meningkat seiring dengan usia, namun, individu yang berkemahiran tinggi tidak mempunyai susut nilai selagi mereka terus bekerja," katanya kepada Bernama.

Dengan peningkatan bilangan pekerja tua, katanya, perhatian harus diberikan kepada cara bagaimana mengekalkan kemahiran dan keupayaan produktif pekerja yang berumur.

Beliau berpendapat jika bekerja lebih lama dianggap bermanfaat bagi individu, masyarakat dan ekonomi, oleh itu, kerajaan perlulah memperkenalkan dasar baharu yang boleh meningkatkan insentif bagi warga tua Malaysia untuk kekal dalam tenaga buruh serta membolehkan syarikat-syarikat mengambil pekerja lebih tua.

"Jika seseorang pekerja memilih untuk melengahkan persaraan, organisasi berkenaan mungkin boleh membuat kontrak perkhidmatan baru yang lebih sesuai untuk mereka dengan merubah nilai mereka kepada organisasi," jelas Clark.

Sambil menyarankan majikan supaya merangka kontrak baharu untuk 'pekerjaan yang direka bentuk semula' termasuk mengurangkan waktu bekerja untuk pekerja yang bakal memasuki fasa persaraan, beliau berkata ini membolehlah pekerja bersedia meninggalkan pekerjaan sepenuh masa dan menerima syarat-syarat baharu berkenaan. - Bernama