Mangsa, Chong Eng Koon, 70, ditemui orang awam dalam keadaan selamat di dalam perigi di kawasan kebun sawit di Batu 6 Lekir di sini pada pukul 9.40 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd. Zaki Zainol berkata, mangsa dipercayai terjatuh dalam perigi berlumpur sedalam empat meter itu kerana tidak menyedari kewujudannya ketika berjalan dalam kawasan kebun sawit.

Menurutnya, bomba dimaklumkan orang awam mengenai penemuan motosikal mangsa di kawasan berkenaan sebelum gerakan mencarinya dijalankan.

“Anggota bomba menggunakan tangga dan tali untuk membawa mangsa keluar dari perigi itu.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dia berada dalam keadaan lemah dan dia kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.40 malam tadi.

Warga emas berkenaan tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas keluar menoreh dengan menunggang motosikal sebelum kehilangannya itu dimaklumkan kepada polis dan bomba.

Pasukan bomba menjalankan gerakan mencari lelaki berkenaan sejak pagi semalam bersama polis, ahli keluarga serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebaik menerima maklumat itu pada 11.40 pagi. - K! ONLINE