Tertuduh, V. Subramaniam membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Dia dituduh di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Dua pertuduhan dihadapi warga emas itu membabitkan dakwaan menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam telefon bimbit miliknya.

Tertuduh yang merupakan pemandu lori turut menghadapi tuduhan memujuk mangsa dengan menjanjikan untuk membeli pelbagai jenis barangan serta pakaian dengan niat melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Lima pertuduhan lagi adalah melakukan amang seksual, menyuruh mangsa melakukan perbuatan seks terhadapnya dan membiarkan mangsa melihat perbuatan seks dilakukan dirinya sendiri.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di parkir bangunan Kompleks Penjaja Majlis Perbandaran Seremban di sini, kira-kira pukul 6 petang antara minggu kedua hingga minggu ketiga Jun lalu.

Lelaki itu turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban kira-kira pukul 2.30 pagi pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan diberi kepada tertuduh atas alasan ia kes serius dan tertuduh yang mengenali mangsa serta ibu bapa mangsa dikhuatiri menganggu mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Ogos ini.

Akhbar Kosmo! pada 10 Julai lalu sebelum ini melaporkan seorang pemandu lori berusia 65 tahun di sini ditahan polis kerana disyaki melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam sebuah kereta bulan lalu.

Lelaki itu ditahan selepas ibu mangsa berusia 49 tahun membuat laporan polis susulan rakaman video perbuatan tidak senonoh lelaki tersebut keatas anaknya tersebar di media sosial. - K! ONLINE