Mangsa, Abdul Gani Maknor@Drani, 87, yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan berkopiah ditemui meninggal dunia di dalam kereta jenis Mazda kira-kira pukul 9 pagi.

Menurut anak mangsa, Melor Abdul Gani, 56, kehilangan ayahnya itu disedari oleh ibunya selepas mendapati arwah tidak pulang ke rumah sehingga pukul 12 tengah malam dan pencarian dilakukan dengan bantuan saudara-mara serta penduduk kampung. 

"Malam tadi kami mencari sehingga ke Tampin, Negeri Sembilan, namun pagi tadi kira-kira pukul 9, salah seorang anak buah ayah ternampak kesan tayar dan rempuhan pada pokok mengkudu pada jarak kira-kira 50 meter dari rumah. 

"Kereta arwah akhirnya berjaya ditemui di dalam semak di kawasan cenuram, namun ayah ditemui sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu. Kami tidak sangka pula rupanya kemalangan itu berlaku terlalu dekat dengan rumah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Melor berkata, kebiasaannya mangsa akan ke Masjid Sungai Buluh yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk menunaikan solat. 

"Kami semua reda dengan kejadian yang menimpa ayah kerana arwah meninggal dunia pada bulan Ramadan yang mulia, apatah lagi dia juga dalam perjalanan hendak ke masjid untuk menunaikan solat," katanya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa terbabas sendiri ke dalam kawasan semak. 

"Difahamkan mangsa telah keluar rumah pada pukul 8 malam dan dijumpai oleh keluarga mangsa kira-kira 13 jam kemudian di kawasan semak.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa telah meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas sendiri ke kawasan cenuram berhampiran rumahnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE