Lelaki yang dikenali dengan gelaran 'Rock Kapak' itu ditahan polis di gerai makan di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.

Difahamkan, suspek yang juga pemandu lori dan mempunyai empat orang anak itu baru mengenali bapa mangsa kira-kira seminggu yang lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan laporan oleh bapa mangsa, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun berada di sebuah taman permainan di Taman Pendamar, Pandamaran di sini.

"Suspek telah mengajak pengadu dan anak-anaknya minum di sebuah gerai di Flat Pendamar. Selesai minum, suspek menyuruh pengadu pulang dahulu bersama anak bongsunya, manakala dia akan membawa mangsa pulang.

"Ketika dalam perjalanan ke rumah mangsa, suspek telah memberikan telefon bimbitnya kepada mangsa. Suspek mengambil kesempatan dengan memegang kedua belah payudara dan juga kemaluan mangsa ketika dia leka bermain telefon bimbit tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, bapa mangsa hanya mengetahui kejadian tersebut selepas ibunya menelefonnya kira-kira pukul 6 petang pada hari kejadian.

"Bapa mangsa kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Pandamaran kira-kira pukul 5.35 petang keesokan harinya," ujarnya. - K! ONLINE