Dalam kejadian kira- kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang juga warga emas berusia 69 tahun cedera di dahi dan mengalami pendarahan dalaman di kedua-dua matanya serta dilaporkan berisiko untuk hilang penglihatan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian cucu mangsa telah meminta warga emas berkenaan menjaga bayi perempuan mereka berusia lapan bulan kerana mahu ke tandas.

"Bayi tersebut bagaimanapun menangis sehingga menyebabkan suami cucunya berang dan bertindak memaki mangsa dengan kata-kata kesat.

"Lelaki itu kemudian bertindak menampar serta menumbuk muka mangsa sehingga warga emas itu rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami lebam di kedua-dua belah mata telah mendapatkan rawatan di Hospital Jasin, namun akan dirujuk kepada pakar di Hospital Melaka berikutan mata warga emas itu tidak boleh dibuka.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, suspek berusia 24 tahun itu kemudian bertindak melarikan diri dengan membawa bersama isteri serta bayinya itu.

"Suspek berjaya ditahan pada pukul 11 malam tadi di Bachang. Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan positif dadah Methamphetamine.

"Suspek juga mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Jelasnya, suspek yang tidak bekerja duduk menumpang bersama isteri dan anaknya di rumah mangsa, malah kehidupan sekeluarga itu ditanggung oleh warga emas berkenaan yang hanya bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah agama.

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE