Tertuduh, Md. Anoy Mahmud, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh pintu balai pelepasan KLIA2 pada pukul 9.52 malam, 9 Julai lalu kerana terlewat lima minit jadual penerbangan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan di hadapan Majistret A. [email protected] Acho, tertuduh ingin memasuki pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Dhaka yang dijadual berlepas pada pukul 9.55 malam.

Bagaimanapun, tertuduh hanya tiba di pintu pelepasan pada pukul 9.50 malam sekali gus mengakibatkan dia tidak dibenarkan menaiki kapal terbang berkenaan.

Difahamkan tertuduh yang berkerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) di Shanghai, China telah transit di KLIA2 sebelum ke Dhaka kerana ingin menziarahi ibu yang sedang sakit.

Tertuduh turut didapati cuba memanjat tong sampah untuk menceroboh masuk pintu pelepasan, namun usahanya gagal dan lelaki itu kemudian mengaku kepada seorang petugas syarikat penerbangan terbabit bahawa dia cuba memasuki pintu pelepasan dengan memanjat pagar di kawasan berkenaan.

Petugas syarikat penerbangan terbabit kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh kemudiannya ditahan kerana didakwa menceroboh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Lelaki itu diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan. - K! ONLINE