Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzafir Mohd. Yussof berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita tempatan berhubung satu kejadian samun melibatkan empat lelaki warga Afrika di kawasan Taman Cheras Mewah, Batu 9 Cheras pada 14 Jun lalu.

"Keempat-empat suspek yang tidak bersenjata didakwa telah cuba melarikan beg tangan milik mangsa yang diletakkan di dalam kereta namun tidak berjaya apabila teman lelaki mangsa berjaya merampas semula beg tangan berkenaan.

"Susulan laporan yang diterima itu, satu serbuan telah dilakukan pada hari sama di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tun Hussein Onn berpandukan maklumat awam yang diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, sebaik menyedari kehadiran pihak polis, salah seorang suspek telah bertindak terjun melalui tingkap di tingkat tiga pangsapuri berkenaan mengakibatkan kecederaan patah pada kaki.

"Dua lelaki warga Afrika telah berjaya ditahan dalam serbuan tersebut dan suspek yang patah kaki berkenaan kini ditahan di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras.

"Pihak polis kini sedang mengesan dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian samun itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," tegas beliau.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Broline Benson di talian 019-693 8032. - K! ONLINE