Dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 74 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di bawah runtuhan bumbung di bahagian ruang tamu tingkat bawah rumah tersebut oleh anggota bomba yang bertugas selepas operasi pemadaman selesai. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abdul Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.36 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

“Tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar rumah dua tingkat tersebut. 

“Operasi pemadaman terus dilakukan dan pihak kami tidak mengetahui terdapat seorang mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan sehingga dimaklumkan oleh jiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Taufiq, anggota terus menggeledah seluruh bahagian rumah tersebut selepas api berjaya dipadamkan bagi mencari mangsa. 

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.11 pagi,” katanya. - K! ONLINE