Kemalangan tersebut membabitkan kenderaan jenis Honda City dan Proton Persona melibatkan tujuh orang termasuk mangsa yang terbunuh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mangsa, Mek Nak Zakaria, 58, dari Felda Jengka 6, Maran meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ujar beliau lagi, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai anak pemandu kereta Honda City berada dalam keadaan kritikal.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kuantan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Persona yang dipandu Mek Nak dari arah Kuantan," katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.

Menurutnya, Mek Nak meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang lain dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini untuk mendapatkan rawatan.

"Dua mangsa lain dalam kereta Proton Persona mengalami patah tangan, manakala pemandu Honda City patah tangan dan kaki sebelah kiri," ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE