Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kerugian mangsa yang berusia 65 tahun terdiri daripada wang tunai pelbagai mata wang, dua utas jam tangan dan barangan kemas yang diserahkan kepada kedua-dua suspek.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Ipoh berminat untuk melihat pokok herba yang dipercayai mampu menyembuh pelbagai penyakit selepas terdengar perbualan dua orang wanita.

Ujarnya, mangsa telah dibawa untuk menemui seorang rakan kedua-dua suspek sebelum membeli pokok tersebut.

"Kedua-dua suspek juga memberitahu bahawa mangsa mempunyai penyakit kronik yang perlu diubati dengan segera sebelum ia merebak kepada ahli keluarga.

"Bagaimanapun, suspek meletakkan syarat agar mangsa menyerahkan semua harta kepada mereka untuk mengubati penyakit tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Mohd. Ali, kedua-dua suspek telah menunggu wanita itu di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 2, Mengelembu dekat sini sebelum mangsa menyerahkan hartanya. - K! ONLINE