Turut menyertai Noraini ialah 10 wakil Pergerakan Wanita UMNO seperti Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid dan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Noraini berkata, kehadiran Pergerakan Wanita UMNO pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas itu merupakan simbol muafakat dan penyatuan kedua-dua parti tersebut atas landasan Islam dan Melayu.

"Saya juga telah menjemput kepimpinan Dewan Muslimat Pas untuk turut menghadiri Persidangan Wanita UMNO yang akan diadakan di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) pada 29 September depan.

"Gerak kerja dan muafakat ini (antara UMNO dan Pas) tidak bermaksud kita cuba menidakkan kaum dan penganut agama lain kerana kita sentiasa meraikan kepelbagaian di negara ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas yang disempurnakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad. Turut hadir Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh dan Ketua Dewan Muslimat Pas Terengganu, Zarani Othman.

Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga dijangka akan menghadiri majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus hari ini. - K! ONLINE