Ketuanya Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tindakan tersebut perlu memandangkan Islam merupakan agama rasmi negara ini yang secara jelas mengharamkan LGBT dan menghalalkan gaya hidup golongan tersebut merupakan hak yang berlebihan untuk diminta dalam sesebuah negara Islam seperti Malaysia. 

"Saya percaya, kempen yang bermula dari menuntut hak sama rata golongan LGBT yang bertentangan dengan agama ini akan menjadi punca kerosakan institusi sosial yang lebih besar terhadap masyarakat di negara ini.

" Kita menentang penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan LGBT yang berusaha mendapat bantuan dalam menyelesaikan kekeliruan perasaan mereka, baik dari sudut spiritual mahupun perubatan,"  katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Katanya tanpa provokasi, mana-mana individu di Malaysia tidak pernah dinafikan hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata sebagai wanita dan ibu, Wanita Umno tidak akan membenarkan golongan LGBT ini dihalalkan perlakuan mereka dalam masyarakat kerana ia bukan jalan penyelesaian kepada isu LGBT.

Noraini berkata walaupun golongan berkenaan mendakwa bukannya meminta perkahwinan sejenis tetapi beliau bimbang dengan apa akan terjadi pada masa akan datang di mana perkahwinan sejenis di negara-negara lain bermula daripada perjuangan menuntut kononnya hak asasi sama rata untuk golongan LGBT.  

Sebelum ini, aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir menyatakan komuniti LGBT di negara ini hanya mahukan kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang terkandung dalam perlembagaan seperti mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan tanpa diskriminasi. 

Jelasnya, golongan tersebut tidak langsung meminta hak tambahan yang boleh mencabar undang-undang seperti menghalalkan perkahwinan sejenis. - Bernama