Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 30an merupakan penumpang kenderaan tersebut gagal menyelamatkan diri ketika kenderaan itu terbakar.

Difahamkan mangsa terperangkap di bahagian tempat duduk yang remuk teruk akibat rempuhan dalam kejadian kemalangan itu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam satu kenyataan berkata, seorang pemandu lelaki rakyat tempatan ditemui selamat.

"Seramai enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Arshad Kadir dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sandakan dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, kenderaan telah terbabas melanggar sebuah rumah kosong sehingga terbakar. Seorang wanita yang tidak mempunyai identiti ditemui rentung," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, tiada mangsa lain yang terlibat dalam nahas berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut turut dilakukan di rumah itu sekiranya wujud mangsa yang lain," katanya.

Operasi tamat kira-kira pukul 5 pagi. - K! ONLINE