Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan secara berkala juga membolehkan wanita mengesan  penyakit jantung dan kanser serviks, antara penyakit yang sering dihidapi golongan wanita.

"Wanita kena atasi perasaan malu untuk melakukan pemeriksaan dan bersikap lebih terbuka termasuk untuk melakukan pemeriksaan payudara. Jika ia dikesan pada tahap yang lebih awal maka lebih mudah untuk penyakit itu dirawat dan peluang untuk sembuh lebih cerah," kata Fuziah, yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Amal Persatuan Sokongan Kanser Payudara Kuantan dan Penyerahan Dana Sumbangan di sini malam tadi, beliau berkata pada masa sama, golongan wanita juga perlu sentiasa menjaga kesihatan diri, mental dan pemakanan selain bersenam memandangkan mereka adalah tonggak kepada keluarga.

"Sebelum kita nak jaga anak-anak dan suami, kita perlulah menjaga diri kita sendiri terlebih dahulu. Jika kita sihat, barulah keluarga kita dapat dijaga dengan baik," katanya.

Fuziah turut menyeru keluarga yang mempunyai pesakit kanser supaya memberikan sokongan berterusan kepada pesakit supaya mereka mampu pulih dan tidak mengalami tekanan. - Bernama