Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd. Shahar Ibrahim berkata, wanita berusia 35 tahun yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan berhampiran sebuah hotel di Changlun dekat sini.

"Kita percaya wanita Myanmar tersebut adalah tekong yang menjalankan kegiatan penyeludupan PATI, juga dari Myanmar," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Briged Utara di sini hari ini.

Kata Mohd. Shahar, pada hari tangkapan tersebut, pihaknya turut menahan seramai enam perempuan dan tiga lelaki Myanmar di sebuah hotel di Changlun yang disyaki dijadikan sebagai transit.

"Kita percaya tekong wanita tersebut mahu mengambil kesemua PATI berusia antara 25 hingga 35 tahun itu untuk dibawa ke sebuah lokasi lain menggunakan kereta jenis Toyota Camry," ujarnya. - K! ONLINE