Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Robeah Samah dari Kampung Teluk Acheh di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Saga FLX yang dalam perjalanan dari Pekan Yan ke Guar Chempedak hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

"Kereta itu kemudian melanggar sebatang pokok di bahu jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat.

Tambahnya, keadaan jalan ketika kejadian didapati basah dan licin.

"Saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Penguasa Bomba Tuan Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.45 pagi ini.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan kemudian mengeluarkan mangsa dari sungai dan menyerahkannya kepada pihak polis," katanya. - K! ONLINE