Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, penumpang hadapan kereta Perodua Myvi, Siti Aminah Yahaya, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera ialah kakak Siti Aminah, Shitoh Yahaya, 35, dan tiga anaknya iaitu Nurul Najwa Zamri, 15; Nurul Syifa, 18, dan Nurul Aaira Umaira, 1.

Dua lagi yang cedera ialah anak saudara Shitoh iaitu Nurul Marsya Irdiana Mohammad Akimie, 4, dan Nurul Hidayah Mohammad Jalaluddin, 9.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, siasatan awal percaya kereta Perodua Myvi itu telah masuk ke laluan bertentangan secara mengejut sebelum bertembung dengan sebuah lori.

"Penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian dan enam penumpang mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk mendapatkan rawatan.

"Pemandu lori berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- K! ONLINE