Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Loh Chai Sia, 37, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa telah melanggar sebuah kereta Toyota Vios yang tiba-tiba berhenti mengejut.

"Mangsa gagal mengawal kenderaannya kerana jalan raya yang licin menyebabkan dia tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta berkenaan.

"Dia kemudiannya keluar daripada kereta untuk meletakkan tanda amaran namun dilanggar seorang lelaki yang merupakan polis selepas dia juga gagal mengawal kenderaannya akibat jalan licin," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibatnya, dia melanggar mangsa menyebabkan wanita malang itu mengalami kecederaan parah.

Katanya, semua mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar raya ini.

"Mangsa kemudiannya meninggal dunia pukul 10 pagi tadi.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE