Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Zuraida Che Muda, 36, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka serta patah tangan kiri. 

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Batu Sireh menghala ke Jalan Batu Jong sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Axia.

Katanya, mangsa ketika itu sedang melintas untuk masuk ke simpang di sebelah kanan menuju ke Kampung Batu Jong, namun kereta Perodua Axia yang datang dari arah Gua Musang itu tidak sempat membrek berikutan jarak yang terlalu dekat. 

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 22 tahun terbabas dan melanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Vanette yang dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Kota Bharu ke Gua Musang. 

"Pemandu Perodua Axia cedera di tangan kiri dan luka-luka kecil, manakala seorang lagi pemandu hanya mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Abdullah berkata, mangsa yang maut ditempat kejadian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya. - K! ONLINE