Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, penipuan wanita itu terbongkar apabila dia gagal menjawab soalan daripada pegawai penyiasat dan jawapannya juga tidak konsisten serta meragukan.

“Suspek yang berusia 24 tahun itu pada mulanya membuat laporan menyatakan bahawa dirinya telah diragut oleh dua lelaki bermotosikal ketika berjalan di Jalan Sri Jati, Petaling di sini pada 1 September lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Dakwanya lagi, dua lelaki tersebut telah meragut beg tangannya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM500 dan pasport miliknya. Namun begitu, setelah siasatan dijalankan, didapati kejadian tersebut tidak wujud dan ia adalah laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai menambah, suspek yang bekerja sebagai pembantu rumah itu mengaku kejadian ragut tersebut tidak berlaku dan laporan polis dibuat untuk mendapatkan pasport baharu di Kedutaan Filipina kerana pasportnya disimpan oleh ejen.

“Dia berdepan dengan masalah kerana telah melarikan diri daripada majikannya.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat laporan palsu dengan mendakwa menjadi mangsa jenayah semata-mata mengelak untuk dikenakan bayaran bagi menggantikan dokumen seperti pasport atau kad pengenalan.

Perbuatan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. - K! ONLINE