Tertuduh, Norma Shafie, 37, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, Norma didakwa menolong menyembunyikan harta curi iaitu dengan menyimpan sejumlah wang dalam akaun bank CIMB miliknya yang diketahui adalah hasil penipuan penyamaran sebagai pegawai polis melalui panggilan telefon daripada Mohammad Dahlan Alib, 42.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di CIMB bank cawangan Jalan Bendahara, Melaka Tengah pada 27 hingga 28 Februari 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia menanggung tiga anak yang masih bersekolah dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000.

Selepas mengdengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan tarikh 21 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. - K! ONLINE