Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita terbabit, Anis Syabila Roslan, 21, melahirkan bayi perempuan yang disambut ibunya dikenali sebagai Toyibah, 41.

Menurut Toyibah, dia yang tinggal di Padang Siding dekat sini menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya, Mohd. Ikhwan Mohd. Sibi, 22, kira-kira pukul 11 pagi memaklumkan Anis Syabila sakit seperti mahu bersalin.

"Saya minta mereka hubungi ambulans tetapi tidak lama kemudian, anak saya telefon lagi dan beritahu isterinya sudah tidak tahan sakit dan mengalami pendarahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, dia bersama ibu bapanya kemudian bergegas pergi ke rumah anaknya itu di Pauh dekat sini sebelum Anis Syabila bertindak masuk ke dalam kereta mereka dan minta dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di sini.

"Dalam perjalanan ke hospital, menantu beritahu dia sudah mahu bersalin dan saya terus minta ayah masuk ke IPD Arau untuk meminta bantuan polis.

"Belum sempat kami nak minta tolong, menantu dah lahirkan bayi di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Kancil dengan bantuan saya dan ayah," ceritanya.

Ujarnya lagi, menantu dan bayi kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans.

"Kejadian tengah hari tadi sangat mencemaskan kerana ini pengalaman pertama saya menyambut bayi," katanya.

Tambahnya, cucunya yang belum diberikan nama dalam keadaan sihat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof mengesahkan kejadian itu. - K! ONLINE