Tanpa memperkenalkan diri pakcik itu rancak bercerita tentang kehidupannya yang sudah melepasi era persaraan.

Banyak isu yang disentuh. Bermula dengan kisah rutin hariannya yang lebih gembira selepas tidak bekerja, pakcik itu menjadi bersemangat apabila bercakap tentang politik tanah air.

Katanya, landskap politik negara masih belum berubah meskipun sudah lima bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia.

Setiap hari, pasti ada sahaja isu kontroversi yang dibangkitkan terhadap kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakalanya, ia seakan-akan sengaja direka oleh pihak-pihak tertentu untuk menonjolkan sisi negatif pemimpin-pemimpin baharu negara.

Saya tertarik dengan hujah yang disampaikan oleh pakcik itu.

Katanya, move on lah rakyat Malaysia. Barisan Nasional (BN) sudah kalah dan kini PH sedang memerintah.

Keputusan sudah dimuktamadkan. Semuanya sudah jelas dan nyata. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memandang ke hadapan.

Cukup-cukuplah dengan retorik politik. Biarlah PH memerintah Malaysia manakala Pas memimpin Kelantan dan Terengganu.

BN terutamanya UMNO memberikan tumpuan untuk mentransformasikan semula parti itu agar kembali digeruni pada masa hadapan.

Kita perlu bersatu untuk membina semula Malaysia yang lebih maju dan digeruni sama ada kawan mahupun lawan di seluruh dunia.

Selaku menteri dan timbalan menteri Kabinet yang baharu sudah pasti mereka cetak pengalaman untuk memimpin negara.

Mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam usaha untuk menjadi yang terbaik. Kita seharusnya melemparkan kritikan yang membina bukannya menjaha­namkan mereka.

Lima bulan tidak cukup untuk belajar. BN yang mempunyai pengalaman selama 60 tahun memerintah Malaysia juga melakukan banyak kesilapan.

Namun, apa yang lebih pen­ting, rakyat Malaysia mesti fokus kepada usaha-usaha untuk menambah baik ekonomi keluarga masing-masing.

Ketika ini, ekonomi dunia sedang mengalami kelembapan. Tempiasnya turut dirasai di negara ini. Banyak syarikat berusaha mengecilkan operasi mereka. Ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu memberikan implikasi yang besar terhadap nasib sekumpulan penjawat awam.

Pembubaran beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Profesor Negara, Jawatan Hal Ehwal Khas, Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan telah menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan.

Begitu juga dengan pekerja Laluan Rel Pantai Timur yang diberhentikan kerja berikutan tindakan kerajaan menggantung pembinaan projek tersebut pada 3 Julai lalu.

Pemberhentian kerja sama ada secara paksa atau sukarela antara langkah yang diambil oleh kebanyakan syarikat untuk menyelamatkan bisnes mereka.

Keba­nyakan majikan yang prihatin terlebih dulu menawarkan Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela atau Voluntary Separation Scheme.

Pekerja akan diberi wang pampasan yang ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan gaji terakhir mereka.

Jika anda sudah memuktamadkan keputusan, kini tiba masanya untuk anda melangkah ke hadapan. Tidak perlu menoleh ke belakang lagi.

Perjuangan anda selama 10 tahun, 20 tahun atau lebih 30 tahun di sesebuah organisasi itu sudah menjadi sejarah.

Namun, dalam keghairahan untuk menempuh cabaran baharu jangan sesekali kita membangga diri dan memperkecilkan orang lain.

Jadi, kita sepatutnya membuat keputusan dengan penuh rasa insaf. Kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

Sesungguhnya, peranca­ngan Allah itu lebih sempurna.