Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-hailing menjalani kursus online dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedia ke lokasi dipilih operator e-hailing di seluruh negara bagi mengendalikan kursus enam jam yang ditetapkan kepada pemandu e-hailing itu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MyRailtime, sebuah aplikasi di telefon pintar berbentuk perancang perjalanan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menyediakan maklumat tepat waktu berlepas, ketibaan serta kelewatan per­khidmatan tren untuk rujukan orang ramai di KL Sentral di sini semalam.

Anthony berkata, kelonggaran itu bagi mempermudahkan pemandu e-hailing dan pihaknya sedia bekerjasama dengan ope­rator bagi menganjurkan kursus enam jam tanpa memaksa pemandu menghadiri kelas secara fizikal.

“Kelonggaran sudah diberi dan kini terpulang kepada mereka memilih kaedah mana untuk mengikuti kursus enam jam dan satu jam peperiksaan itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai aplikasi MyRailtime, Anthony memberitahu, kemudahan tersebut disediakan bagi membantu orang ramai menyemak jadual perjalanan, waktu ketibaan dan pelepasan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Tanjung Malim mengikut waktu sebenar.

Jelasnya, aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerusi te­lefon pintar. – Bernama