Datuk Ahmad Nazlan Idris yang menang di kerusi Parlimen Jerantut manakala Datuk Nazri Ngah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar akan bekerjasama memastikan daerah ini tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Ahmad Nazlan berkata, beliau bersyukur kepada Allah dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada Nazri yang juga rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar pada 1972 dan 1973 turut dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Pulau Tawar.

"Saya dan Nazri akan berganding bahu untuk bersama-sama membantu rakyat dalam aspek pembangunan dan ekonomi agar rakyat terus terbela," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, beliau bagaimanapun sedikit terkilan apabila BN gagal mempertahankan empat kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila DUN Tahan dan Damak dirampas Pas.

Sementara itu, Nazri memberitahu, kejayaan mereka turut diinspirasikan oleh bekas gurunya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Mohamad Norzari Yahaya.

"Beliau bukan sahaja memberi semangat dan dorongan kepada kami untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya malah beliau turut membimbing kami untuk berjaya dalam politik dan beliau turut berkempen bersama-sama kami sebelum PRU-14," ujarnya.

Katanya, beliau akan mengotakan janji untuk memperjuangkan nasib generasi kedua Felda dan kampung tradisional terutama menyediakan kawasan penempatan dengan lebih banyak melalui pembinaan rumah kos rendah.

Pada PRU-14, Penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan  memastikan BN menang dengan majoriti 5,908 apabila mendapat 22,640 undi untuk menyingkirkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16732) dan calon PH, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil (10,877).

Bagi DUN Pulau Tawar pula, BN mencatatkan kemenangan dengan majoriti 587 apabila calonnya, Nazri mendapat 8446 undi manakala calon Pas, Ahmad Nawi Samah (7859) dan calon PH, Dr. Jamaluddin Abdul Rahim hanya mendapat 1,973.

Calon Pas DUN Damak, Zuridan Md. Daud menang dengan 8,444 undi manakala Datuk Natalie Lim Chong Ly (BN) hanya mendapat 4,396 undi dan wakil Pakatan Harapan (PH), Wong Chun Yuan meraih 6,988 undi dengan majoriti 1,456 undi.

Di DUN Tahan, Pas menang tipis dengan majoriti 69 undi apabila calonnya, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin memperoleh 5,638 undi menewaskan penyandang sebelum ini dari BN, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak (5,569) manakala calon PH, Nordin Samat (945). - K! ONLINE