Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pusat khidmatnya kini berdepan dengan situasi di mana terdapat banyak pihak yang memohon bantuan kebajikan adalah daripada golongan bukan pengundi di kawasan itu.

"Saya selalu lihat ada banyak permohonan bantuan kebajikan tetapi anehnya para pemohon merupakan bukan pengundi dan penduduk di kawasan ini. Sebagai sebuah kerajaan yang perihatin kepada mereka yang berdepan dengan masalah ekonomi atau masalah kesihatan tetapi perlu patuhi syarat menjadi pengundi dan penduduk di sini.

Terdapat beberapa pihak yang memohon bantuan kebajikan daripada dua buah kawasan iaitu kawasan yang dihuni dan kawasan mengundi... Kita tidak mahu jadi seperti ini kerana ini adalah peraturan daripada kerajaan persekutuan.. kita tidak boleh melangkaui batas ke kawasan lain," kata Guan Eng ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama Khariah Surau Kampung Sungai Nyior di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan orang ramai khususnya golongan B40 agar membuat permohonan mySalam untuk perlindungan kesihatan khususnya daripada 36 jenis penyakit berisiko. 

Katanya, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan perubatan yang diperlukan.

"Kita tahu ada keluarga yang kurang berkemampuan yang tidak mampu membeli insurans. 
Kerajaan telah merangka satu skim baru yg tidak pernah diberikan sebelum ini di Malaysia dan di negara-negara Asia Tenggara," katanya. - Bernama