Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyata­kan keputusan itu yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu turut merangkumi Akta Senjata Api (Pe­nalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Keputusan itu telah lama diperjuangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Majlis Peguam, Lawyers for Liberty dan Amnesty International yang menganggap perkara itu sebagai melanggar hak asasi manusia.

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, terdapat 1,279 banduan yang sedang menunggu hukuman mati setakat 11 Oktober 2018. Ia me­rangkumi 710 warga Malaysia dan 569 warga ­asing dan 1,136 lelaki serta 143 perem­puan.

Sejumlah 932 daripada mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 317 lagi kerana kesalahan bunuh.

Antara alasan pihak yang menentang keputusan itu ialah ia tidak memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang meratapi kehila­ngan orang tersayang.

Selain itu, hukuman penjara selama 30 tahun jika dilaksanakan akan memberikan tanggungan beban kewangan yang besar kepada pihak kerajaan terutamanya dari segi makanan pesalah ketika di penjara.

Penulis melihat kewajaran pengekalan hukuman itu dari sudut keluarga mangsa yang berdepan kes anak atau ahli keluarga dibunuh dengan kejam. Salah satu kes tersebut ialah pembunuhan Shafiqah Mohamad Borhan, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim pada 27 Januari 2006 yang ditemui di dalam longkang Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

Pelaku iaitu Abu Bakar Musa telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan merogol dan membunuh Shafiqah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada tahun 2009. Kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Abu Bakar turut dihukum penjara 20 tahun dengan 15 kali sebatan selepas didapati bersalah merogol mangsa.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh, Mohd. Borhan Awang pernah menyatakan kesyukurannya kerana pembunuh dan perogol anaknya mendapat pembalasan atas perbuatan kejam itu.

Bahkan, setelah tiga tahun kejadian itu berlalu, ibu mangsa masih lagi dalam keadaan terkejut dan trauma dengan peristiwa hitam itu.

Sementara itu, seorang remaja perempuan, Nurrahayu Qomarodin ber­usia 16 tahun yang ditemui mati dalam keadaan tragis dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dike­rat dan dibakar di Masai, Johor Bahru yang berlaku pada tahun 2011. Kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya. Pelaku merupakan seorang pe­ngawal keselamatan yang dikenali Qomarodin dan telah dijatuhi hukuman gantung oleh mahkamah pada tahun 2012.