Tertuduh, Dulaham Ajak, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Dulaham sebagai penjawat awam Wadar Penjara yang bertugas di Blok Fitrah, Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini telah secara rasuah memperoleh suapan berupa wang tunai antara RM100 hingga RM250 dari 25 Ogos hingga 20 Disember tahun lalu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh sebagai upah untuk melakukan perbuatan membawa masuk artikel larangan ke dalam penjara untuk kegunaan banduan yang merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995.

Tertuduh yang telah 24 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam melakukan perbuatan menerima suapan melalui transaksi wang antara CIMB Bank pemberi dan Maybank tertuduh di Maybank Karamunsing di sini.

Bagi perbuatan itu, Dulaham didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd. Hadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan memohon mahkamah menetapkan nilai jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan dengan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan suspek dibebaskan dengan jaminan RM15,000 berserta seorang penjamin rakyat tempatan.

Abu Bakar turut menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula, pengurusan kes dan pelantikan peguam. - K! ONLINE