Keduanya, berita susulan mengenai wawancara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Sabtu lalu.

Antara dua berita itu, kenyataan Mujahid berubah menjadi kontroversi apabila ia menyentuh soal pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berkaitan operasi pencegahan maksiat. Isu berkaitan operasi khalwat lebih menjadi tumpuan malah membuatkan banyak pihak ‘melompat’ untuk menjadi juara isu kononnya bagi mempertahankan Islam.

Mujahid menjadi sasaran serangan bertubi-tubi selepas isu berkaitan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) sebelum ini.

Berbanding isu keselamatan negara berkaitan fahaman salafi jihadi, segelintir kelompok agama mudah memuntahkan lahar amarah mereka jika bidang kuasa menangkap pesalah khalwat diusik.

Namun dalam masa sama ramai bersikap apologetik terhadap doktrin salafi jihadi yang sebenarnya telah lama merayap dalam pemikiran masyarakat Islam di negara ini sehingga mengheret kepada sentimen takfiri.

Samalah reaksi yang timbul selepas tragedi gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia, ramai lebih gemar berkongsi tragedi itu sebagai balasan Tuhan kononnya angkara balasan atas dosa wujudnya gerakan LGBT di wilayah itu.

Tragedi kemanusiaan yang terjadi akibat bencana alam itu bagaikan dikesampingkan. Soal dosa manusia lebih utama untuk dibicarakan.

Situasi tersebut menggambarkan betapa bercelarunya wacana Islam di negara ini apabila soal sentimen lebih diutamakan berbanding isi kandungan ajaran Islam sebenarnya yang perlu diangkat.

Sikap bertabayyun (mengenal pasti kebenaran) di sebalik sesuatu isu yang sepatutnya lebih diutamakan juga tidak diamalkan sehingga membuatkan orang awam menjadi mangsa.

Ketika dunia sains dan teknologi berkembang maju, sewajarnya diskusi tentang Islam bergerak jauh ke hadapan dan lebih kritis.

Kelemahan yang ketara ialah masyarakat hanya lebih gemar menekankan soal Islam hukum berbanding membicarakan tentang Islam nizam atau agama menjadi pemangkin kepada pembentukan cara hidup.

Apatah lagi di Malaysia, hukum-hakam bergantung kepada majlis agama Islam negeri-negeri terutamanya membabitkan soal penguatkuasaan undang-undang syariah.

Namun perlu difahami statut-statut perundangan tersebut berasal daripada pandangan fikah selain proses ijtihad yang masih ada ruang pembaikan. Ia adalah satu proses yang tidak statik dan bebas daripada kritikan.

Kita harus ada kaedah-kaedah baharu dalam merumuskan fikah yang lebih relevan dan signifikan.

Pandangan fikah mungkin berubah namun agama Islam tetap sama. Apa yang menukar sesuatu pandangan itu adalah paradigma dalam keberagamaan iaitu daripada kaca mata apakah kita memandang sesuatu perkara itu.

Kalau kaca mata kuda, apa yang dilihat sekadar perkara yang dilihat di hadapannya.

Sebaliknya di zaman moden, kita sudah mempunyai kamera bukaan lensanya berskala 360 darjah.