Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, usaha mengawal wabak tersebut daripada merebak giat dijalankan.

Menurut Christina, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah tidak menerima sebarang laporan mengenai jangkitan wabak berkenaan terhadap manusia.

"Kita bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri (JPV) sememangnya menjalinkan kerjasama melakukan pemantauan.

"Kita mempunyai pelan tindakan untuk mengatasi masalah penularan wabak ini. Buat masa ini wabak selsema hanya dilaporkan di kampung yang terlibat dan bukan keseluruhan daerah Tuaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) dan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia peringkat Sabah di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Junz Wong mengisytiharkan daerah Tuaran sebagai kawasan wabak selesema burung.

JPV diarahkan untuk melaksanakan pelupusan semua unggas yang terdapat sekitar satu kilometer (km) radius dari lokasi ladang yang terlibat.

Sehingga semalam, sebanyak 10,000 ekor ayam di ladang sekitar daerah Tuaran telah dilupuskan.

Sementara itu, Sabah mencatatkan sebanyak 2,611 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan 24 buah pusat asuhan dan taska yang masih ditutup sehingga semalam. - K! ONLINE