Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hingga kini kawasan terakhir dikenal pasti wabak Rabies iaitu di Sarikei, menunjukkan tanda-tanda positif tidak menular ke kawasan baharu berikutan program vaksinasi besar-besaran melibatkan haiwan di Sarawak yang dimulakan sejak Februari lepas.

"Setakat ini kita telah membelanjakan RM10.5 juta untuk kos operasi, vaksinasi bagi haiwan serta manusia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu memberi jaminan bekalan vaksinasi untuk haiwan dan manusia masih mencukupi sebagai langkah berterusan untuk menangani wabak Rabies. 

Untuk rekod, sejak Sarawak dilanda wabak itu hingga sekarang, 30 kawasan dari bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Sarikei telah diisytiharkan kawasan wabak Rabies. - Bernama