Misteri itu terungkai apabila 37 daripada 112 Orang Asli suku Bateq yang sebelum ini me­ngalami gejala jangkitan saluran pernafasan disahkan menghidap jangkitan demam tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal pada Sabtu lalu.

Menurutnya, ujian makmal lain seperti tuberkulosis (tibi), melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah), leptospirosis (ken­cing tikus) dan corona virus (di­sebabkan kelawar) pula adalah negatif.

“Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles, Mumps and Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan perubatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan menyeluruh kerana cara hidup suku ini yang kerap berpindah randah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dzulkefly membe­ritahu, kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan komplikasi teruk.

Katanya, demam campak adalah jangkitan virus yang amat mudah merebak dengan satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain.

“Komplikasi akibat jangkitan demam campak sering berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak dan individu yang me­ngalami kekurangan zat makanan serta tahap imuniti yang rendah.

“Kadar kematian kes demam campak lazimnya kurang satu peratus, namun boleh mencapai tiga hingga enam peratus jika kekurangan zat makanan,” ujarnya.

Setakat ini sebanyak 15 kematian Orang Asli suku Bateq dilaporkan dengan mangsa terbaharu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut kelmarin akibat demam campak.

Pasukan polis juga berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kampung Kuala Koh sehingga semalam dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mengenal pasti punca kematian.

Difahamkan, Orang Asli yang meninggal dunia itu juga sebelum ini mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan.