Mangsa, Farhan Lukman Abdullah meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak pada pukul 2.08 pagi selepas berada dalam keada­an kritikal selama tiga hari.

Ibu kanak-kanak itu, Mastura Ali, 33, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik yang merupakan seorang aktif secara tiba-tiba berubah menjadi lemah selepas terkena jangkitan HFMD.

“Anak saya dijangkiti HFMD minggu lalu, kami bawa Farhan ke Klinik Kesihatan Daro pada Rabu lalu. Ubat klinik tidak mengubah penyakitnya malah Farhan kerap menangis pada waktu malam dan semakin lemah,” katanya semalam.

Menurut Mastura, dia kemudian membawa Farhan ke Hospital Daro tetapi terpaksa dirujuk ke Hospital Sibu susulan keadaannya yang semakin merisaukan.

“Sejak dipindahkan ke Hospital Sibu, kesihatan Farhan terus merosot dan meninggal dunia awal pagi tadi (semalam) di sisi saya,” jelasnya. Jarak antara Daro dan Sibu kira-kira 50 kilometer.

Jelasnya, arwah dibawa pulang ke Kampung Pangtray untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemang Pek di Daro pukul 2.30 petang pada hari sama.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.