Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, Norlizawati Mohamed Nawi, 35, cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas tergelincir ketika menuruni bukit berkenaan.

Rakan mangsa, Norizan Idris, 36, berkata, dia bersama mangsa dan dua lagi rakannya mendaki bukit berkenaan pada pukul 8 pagi.

"Kami sampai di puncak pada ketinggian 370 meter itu kira-kira sejam kemudian dan bergerak turun semula selepas itu.

"Ketika berada di ketinggian 300 meter, Norlizawati tiba-tiba tergelincir dan jatuh serta bergolek beberapa meter sebelum badannya tersangkut pada sebatang pokok," katanya kepada Kosmo! Online.

Menurutnya, dia bersama rakannya meminta tolong daripada pendaki lain yang turut berada di tempat kejadian sebelum menghubungi pihak penyelamat.

"Terdapat pendarahan di bahagian belakang kepala Norlizawati dan dia turut cedera di pinggang menyebabkan pihak bomba dan Angkatan Petahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa mengusungnya untuk dibawa turun ke bawah," ujarnya.

Norizan memberitahu, Norlizawati memang suka mendaki terutama Bukit Merah serta Bukit Seladang di Jerantut dan kejadian itu adalah yang pertama kali menimpanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Osman Malik dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.19 pagi dan empat anggota terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Semasa tiba di tempat kejadian, beberapa anggota APM telah tiba lebih awal dan menguruskan mangsa untuk dibawa turun menggunakan alat pengusung," jelasnya.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan dan pihak bomba menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati apabila melakukan aktiviti pendakian. - K! ONLINE