Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Rudy Abdullah berkata, tiada sebarang kekecohan berlaku sejak pagi tadi.

“Pada masa kini, pihak polis sedang mengawal lalu lintas kawasan kedutaan bagi mengelakkan kesesakan trafik yang lebih teruk.

“Dianggarkan seramai 1,000 orang warganegara Indonesia berkumpul di hadapan kedutaan tersebut sejak pagi tadi untuk mengundi sehingga pukul 6 petang ini. Saya difahamkan bahawa sistem pengundian mereka mengalami kerosakan sekarang dan telah melambatkan proses pengundian,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini hari ini.

Beberapa anggota Light Strike Force Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat sedang berkawal semasa rakyat Indonesia berkumpul dan melaungkan sokongan terhadap calon pilihan mereka.

Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presidennya.

Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera, Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU), terdapat 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD). - K! ONLINE