Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian pergaduhan itu berlaku pada pukul 12.01 tengah malam 13 Mei lalu antara pihak peniaga dan kontraktor medan selera terbabit.

"Polis telah menahan enam lelaki berusia antara 30 hingga 35 tahun terdiri daripada tiga daripada pihak pemilik gerai dan tiga daripada kumpulan kontraktor.

"Ekoran tidak puas hati rakan mereka diberkas, 10 lelaki lain datang ke ke medan selera membuat kecoh dan merosakkan kerusi serta meja makan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit 35 saat memaparkan sekumpulan lelaki membuat bising dalam pergaduhan di Medan Selera Jalan Trus yang mula tersebar sejak semalam.

Shahurinain berkata, susulan kejadian itu, polis membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berusia antara 34 hingga 48 tahun di Pasar Borong Pandan di sini pada pukul 1 tengah hari, hari ini.

Jelasnya, hasil soal siat mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kejadian pergaduhan sepertimana video yang tersebar berkenaan.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga–tiga tangkapan mempunyai jenayah lampau berkait pelbagai kesalahan dan saringan ujian air kencing adalah negatif.

Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 427 dan 14A Kanun Keseksaan.

Polis dalam usaha mengesan beberapa lagi rakan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi terus di talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Mohammad Royza Alif Zahuri ditalian 019-4782697," katanya. - K! ONLINE